Roza Roslan menulis.
Dahulu kami sekeluarga gemar menaiki pesawat kebanggaan Malaysia.
Perkhidmatan mereka bermula di lapangan terbang hingga di atas udara
ternyata terbaik berbanding dengan pesawat-pesawat lain di dunia yang
pernah kami naiki.
Ketika berpeluang ... kami teruja bersantai di Golden Lounge yang disediakan dengan pelbagai kemudahan. Makanannya juga enak.
Sebelum berlepas kami mengambil kesempatan mendirikan solat sunat
musafir di dalam suraunya yang tersedia bersih, kemas lagi selesa.
Tempat wuduk bersekali. Ia tidak terdapat di mana-mana lapangan terbang
sekalipun di Arab Saudi.
Dalam satu perjalanan ke luar negara,
pemandangan kami terganggu dengan minuman yang diminta oleh penumpang
dari Eropah. Dalam hati kami hanya berdoa agar Allah tidak murka lalu
menghempaskan pesawat itu kerana menghidangkan minuman yang telah
diharamkan dalam Quran.
Beberapa jam perjalananan, suami meminta segelas jus buah dari flight attenden. Dengan penuh mesra beliau menyapa;
"Tuankah yang selalu tampil di kaca TV? Rasanya buku Travelog Haji:
Mengubah Sempadan Iman ditulis oleh tuan ... Saya sudah membacanya. Ia
terkesan di hati."
Suami senyum sambil mengangguk mengiakannya. Pemuda itu meneruskan lagi;
"Tuan ... Tulislah sesuatu kepada majikan kami. Mohon dihentikan
hidangan arak di dalam setiap penerbangan. Kami bimbang dengan dosa
subahat yang dilakukan.
Dan lagi ... cadangkan agar uniform
wanita ditukar kepada pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Bukan
kebaya ketat yang kainnya terbelah sampai ke peha ...
Kesian kami melihat staf wanita bertudung namun masih terpaksa memakai uniformnya.."
Sebelum beredar sekali lagi beliau berpesan," Tuan...Tolong lah ya.
Kami amat takut dengan hukum Allah. Kami orang bawahan. Mungkin
kata-kata tuan lebih didengar ..."
Allahu Akbar! Kami terdiam. Tunduk hiba mendengar luahan hatinya.
Namun rasa hati kami sudah lama terdetik. Ia pernah dinyatakan melalui buku KANDIL DI KAKI GUNUNG - Panasnya Malaysia.
http://www.muhdkamil.org/pensyarah_roza
Dalam surah al-Mulk, ayat 19 Allah berfirman yang bermaksud:
Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah
pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang
menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya?
Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah
Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
AdminUMKI